Penyelarasan strategik perlu jelas berteraskan tadbir urus kukuh





Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-230 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-116 bagi Suku Kedua Tahun 2026. 


Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.


Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa. 


Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.


Dalam titah, baginda mengiktiraf bahawa syarikat-syarikat terus mencapai prestasi selaras dengan perancangan.


Pada masa yang sama, baginda bertitah bahawa Suku Kedua menunjukkan persekitaran operasi yang mencabar dan kompleks.


Sehubungan itu, baginda bertitah menekankan kepentingan untuk melihat melangkaui prestasi luaran dan keseluruhan bagi memahami kedayatahanan sebenar syarikat-syarikat.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah juga menekankan bahawa keselamatan kekal sebagai keutamaan teras, di samping keperluan bagi kepimpinan yang jelas serta pelaksanaan yang berdisiplin di semua peringkat. 


Baginda turut menekankan kepentingan memastikan pengajaran sentiasa dikongsi dan diterapkan secara konsisten merentas syarikat-syarikat bagi memperkukuhkan keselamatan serta prestasi operasi.


Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara utama seperti prestasi operasi, kewangan, pembangunan tenaga manusia serta hala tuju strategik syarikat-syarikat dalam keseluruhan rantaian nilai tenaga. 


Baginda turut bertitah menekankan kepentingan penyelarasan yang jelas dalam keutamaan strategik dan perancangan masa hadapan, disokong oleh tadbir urus yang kukuh bagi memastikan hasil yang mampan.


Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan dari BLNG dan BGC.


Kebawah DYMM seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-419 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-197 bagi Suku Kedua Tahun 2026, esok, Khamis, 2 Julai 2026.


06 (1).jpg


07 (1).jpg


08 (1).jpg


09 (1).jpg


10.jpg




Close